KUALA LUMPUR - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sepatutnya menerima tawaran sebagai setiausaha agung parti itu yang baharu.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, apabila tawaran dibuat oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semua aspek telah diambil kira termasuk sama ada beliau layak untuk memegang jawatan berkenaan.
“Apabila Presiden sudah memohon, (maknanya) kita sudah fikirkan semua (aspek) dan rasakan dia layak dan sepatutnya ambil dan terima.
“(Tapi) Dia tak pernah kata menolak, sebaliknya kata akan fikirkan. Baguslah macam tu, seorang pemimpin bila orang dah tawar (jawatan), jangan terus terima. Fikirlah dahulu.
**media[2901647]**
“Bila dia jawab akan fikir dulu, (maknanya) itu bagus. Orang kita pula bila jawab akan fikir, kita rasa ia macam menolak kerana kita nak dengar jawapan itu ya atau tidak sahaja,” katanya semasa program Interviu yang dihoskan Penolong Pengarang Berita (Digital) Sinar Harian, Mohd Fazli Zainul Abidin di pejabatnya di Bukit Tunku di sini baru-baru ini.
Hamzah berkata demikian ketika ditanya sama ada melihat Bersatu benar-benar memerlukan khidmat Mohamed Azmin sebagai setiausaha agung parti itu yang baharu.
**media[2901646]**
Semasa Konvensyen Bersatu pada 13 Julai lalu, Muhyiddin mengumumkan pasukan ‘kompromi’ dengan mencadangkan jawatan timbalan presiden diberikan kepada Hamzah selepas penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersetuju untuk 'berundur' satu tapak ke belakang dan menawarkan diri bertanding naib presiden dalam pemilihan parti.
Bagi jawatan setiausaha agung pula, Muhyiddin mencadang dan menawarkan kepada Mohamed Azmin yang merupakan seorang tokoh penting, yang dilihat mampu menjalankan tugasnya dan berpengalaman dalam politik.
Sementara itu, ditanya tentang Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan berlangsung pada hujung bulan ini, beliau menjelaskan, ia penting bagi memberi rangsangan kepada semua ahli bahawa parti itu masih lagi relevan dan kuat.
“Kita adalah sebuah parti yang mempunyai ideologi yang boleh diterima oleh semua pihak, sangat inklusif. Malah, Bersatu juga mengiktiraf ketua bagi sayap baharu bagi bukan Melayu adalah setara naib presiden,” katanya.
Bagaimanapun, Hamzah menegaskan kewujudan sayap parti itu tidak akan menggugat asas Bersatu untuk Melayu dan bumiputera kerana parti itu inklusif dan memikirkan tanggungjawab untuk bukan Melayu dan bukan bumiputera.